Isnin, 28 Februari 2011

renungan terbenam.



 tergambar dari emosi sendiri
merenung setiap tingkah  terjadi
melirik tajam rasa tersisa
dibalik kudrat menyusut perlahan-lahan
renungan ini masih utuh tepat


tidak terhenti hembus mengalah
walau berderai air mata membasah
gagah jua demi sebuah maruah
yang  dipijak si anak mewah


rasa ini takkan terhenti
walau jatuh berkali-kali
dihujan segala caci dan maki
akan bangkit
disuatu masa yang tertulis.

Khamis, 17 Februari 2011

yang pernah tersinggah.



kepada


mereka yang pernah
terasa
tertusuk
tersinggah
terpukau
terpesona
tertoleh


maaf,bukan niat  jantan
bercerita tentang kebaikan
menunjuk pedoman
berikan harapan
berbual masa depan
tak terjangkau dari akal


jauhilah
dari diri yang berteka-teki mengenai hal hati
terkial-kial mencari rezeki
bermimpi megah sembang hal bidadari
pergilah
pergilah
pergilah


berlari dari pengemis kata
kejarlah bahagia  didepan
buangkan  penyatuan hati yang pernah terucap
dari patah kata menikam dada
maaf!
tiada yang istimewa
aku bukan lelaki yang kalian  harapkan.

Rabu, 16 Februari 2011

puisi rindu buatmu ya muhammad.



Dengan nama Allah s.w.t.yang memberi segala rahmat,kekuatan dan akal untukku menitipkan segala puji-pujian buat kekasihMU.segala keindahan dan pujian yang kulantunkan,ikhlasnya dari jiwa hambanya yang merindui rasulnya..



ya muhammad
ya rasulullah
ya habiballah
ya najiyallah
ya sofiyallah
ya nabiallah
ya kalimallah


segala qasidah yang ku lagukan buatmu
dari air mata yang gugur merindui dirimu
dari seorang hamba polos cuba menjejak langkahmu
dari kalangan umatmu yang mengharap berada dibawah kasihmu
mungkin ini termampu dariku
syumul lahiriah walau akal dirasuk gelora dunia


wahai nabi kami
andai tersilap cara dan pegangan kami
jika  takdir umatmu yang tertulis di kitabullah
ada tercela ada terleka
jangan menangis ya kekasih taala
kami dikalangan terakhir
pemegang amanahmu walau panji tercalit debu


kepadamu rasulullah
aku cuba bermadah walau diriku bukan kalangan pujangga
coretkan  setiap busana kata 
noktahkan segala kebesaran
hamburkan segala rasa cinta
buatmu yang paling istimewa
andai ini tidak terindah
maafkan aku ya nabi allah
ku cuba sedaya upaya
apa yang ada kuserah segala
walau nyanyianku lebih bernada rindu padamu


maafkan kami ya baginda
kami umatmu yang lemah
ada ketika leka melihat catur dunia
iman dan taqwa kadang tidak setia
buatmu menangis melihat kami yang hina


kepadamu kekasih allah
moga haruman taburan selawat kami mengembirakanmu
tanda kasih kami buat nabi tercinta
ampunkan kami jika tegar ingkar pesananmu
harap berjumpa di alam sana muhammad
sebagai pengikat kami ke syurga tertinggi

ampunkan sekalian umatmu
moga bahagia dipeluk penciptamu
ikhlas dariku
buatmu rasulullah
nabiku yang dikasih ramai.

Selasa, 15 Februari 2011

kasih.



hati ini meronta
andai kita bersama
tidak seperti pinang dibelah dua
walau jauh tak terlihat dimata
demi kasih
aku sedia menerimanya


seakan selalu ada
walau kita tidak pernah bersua
demi kasih
aku rela sahutnya jua
andai takdir  penyatu kita
aku harap kasih terima seadaanya
harungi susah senang bersama
selamat datang kasih
harap kekal dihati.

Khamis, 10 Februari 2011

bintang:dalam sedih ku bercerita





aku terpesona pada bintang
tidakkah kalian begitu?
renung ke langit
ianya jauh
bersinar menari-nari di kaki langit
memberi erti kepada penontonnya
berlawan dia dengan purnama
buat persembah hasil terindah


kau melihatnya
tika kelopak matamu merembes hangat
adunan pelbagai rasa duka
sayup-sayup bintang terlihat akan tangismu
bintang simpati
tanya kenapa?
kau menjawab dengan adanya
setiap cerita ada memorinya
terimbau bertaut segala kisahnya
kau tersedu,bintang terkedu


kau lemparkan rindu buat bintang terjauh
dari pandangan kabur terang di genap jiwamu
jika bintang tercapai darimu
sudilah ia erat merangkul tubuhmu
tidak ia biarmu keseorangan
takut dihanyut sepi berpanjangan
dari jiwamu  yang teringin berdamping disisi bintang


asyikkan bintang?
hingga kau khayal keluar dari kemurungan
pengharapanmu doa yang kau kirim
berada disamping bintang dengan penuh erat
bintang juga mengharap
agar kau sentiasa melihatnya
tika saat kau berperang dengan segala rasa
dan kau telah memilih dia,menjadi seperti dia
menyerikan hati manusia tersedih
dan kau akan kesana
sebagai kejora paling berharga.

aku dan dia,dia dan aku



aku terjun ke jurang marina
ku cuba jejak permata tidak terhingga
makin ku selam jiwaku ku kelam
aku terbenam dilubuk hitam
aku ragu, masihkah ku mampu
mencari dia hanya seketika?


aku mendaki ke dahi langit
ku gagah jua walau hati meronta
ku lihat awan ku harap dia menjelma
namun ribut menampilkan dirinya
ku yakin dia murka
aku datang mendepa serah segala
agar sengketa dihapus segera


didalam aku ada dia
rahsia aku ada darinya
kerna dia,pencipta aku
aku cuba kenali dia
semakin ku rapat
semakin ku khayal


didalam jaga terbayang dia
didalam tidur mimpi dia
didalam rindu ku ingat dia
aku pandang ke dalam hatiku
ku tekadkan zahir dan batinku
dia yang awal,dia yang zahir
aku mencari
masih mencari
apa rahsia,yang dia abadi

Ahad, 6 Februari 2011

sisa tertinggal




sisa tertinggal
letusan amarah terpendam
laungan serata pelusuk
membangkit jiwa tertindas
merusuh hati  merungkai kejahilan
tumbangkan si kuku besi
ayuh ke jalan sahabat
darah kita mengalir bukti kebenaran
anjing anjing bertuan tidak mampu menahan 
melawan biar nyawa tergadai
demi masa depan
ketaksamaan sesama insan
demi generasi
penyambung revolusi sulit ini

Sabtu, 5 Februari 2011

mengejar emas



sekumpal bahagia ditangan
aku lepaskan mengejar harapan
yang belum tentu nyata atau fantasi lambaian syaitan
aku mara kedepan
bilang ini masa depan
yakin beroleh kegembiraan
walau hakikat tak tercapai akal
tunggang hati yakin ini kemenangan
beroleh nikmat isyarat kuasa ditangan
bertaburan segala janji pada si dia yang tunggal
bila menyesal baru ku patuh pada ajaran
laungan merdu jiwaku tersekat
berpatah aku mencari dalih
aku jatuh emas terburai
mutakhir tidak terkutip yang bertaburan
aku penat ditangga pelangi
makin ku daki makin bersirat
aku terlepas mengejar emas
yang ku dapat hanya sesalan

Jumaat, 4 Februari 2011

mencarimu.




mencarimu
tidak perlukan harta,rupa dan darjat
maulid aku sememangnya mencarimu
mencurah kasih seikhlas murni
dibalik mimpi indah dunia
segala aturan dicipta alasan
terpecah aku antara kaca dan permata
jaga dan lena aku leka
alpa asyik bertangguh
hingga rungkuh baru ku mengejarmu?
maafkan aku cinta
mengabaikan hubungan aku denganmu
aku mencuba mencarimu hingga tamat masa kau beri.