Selasa, 21 September 2010
ini senjata aku
ini senjata aku
dicipta dan disumbangkan dari seluruh ilmuwan dunia
yang idea dan ideologi bertentangan dari hakiki
untuk mereka sujud dan junjung dicelahan tapak kaki
ini senjata aku
jangan dipersoalkan
kelak musibah melanda dirimu
segala keturunan diawasi
segala peribadi diselongkar dari akar umbi
ini senjata aku
bukan senapang atau atom
bukan tombak atau busur
bukan pedang atau luk 7
ini senjata aku
keluar dari makrifat
lari dari tarikat
hilangkan hakikat
hapuskan syariat
aku cipta yang baru
untuk satukan dibawah paksi jitu
mengikut gerak pusing jangka lukis
setajam dan senipis itu
aku masukkan ke dalam otak kalian
sedikit demi sedikit
dari sekecil zarah hingga terbeku di minda
sebati menjadi anutan
dari mula perisytiharaan
hingga permulaan matahari di barat
ini senjata aku
yang tepat ke hati
merangkul segala kuasa duniawi
tidak kira dari asal pribumi
dari lengkap celana hingga ditutupi yang wajib diri
ini senjata aku
keadilan itu hanya aku
kekuasaan itu hanya aku
hiburan itu aku
syura dan muzakarah itu dibawah tadbir aku
aku taburi duit
tutup lohong-lohong mulut hitam
tutup mulut timur barat
kerana ini senjata aku
teknologi itu ciptaan aku
aku pandang
aku lihat
aku renung
aku halusi
aku tahu siapa dirimu
apa mahu dirimu
apa serakah jiwa keinginanmu
apa dalil untuk melawan juang imanmu
kerana banyak tikaman dari belakangmu sendiri
tidak kamu tahu
tidak kamu sedar
kerana ini senjata aku!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan